Assalamualaikum W.B.T.
Ketika aku ingin pergi melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia pada tanggal 31 Ogos 2016, satu tragedi telah menimpa kami sekeluarga. Kami bertolak dari Kulai pada jam 4 pagi. Perjalanan kami lancar. Tetapi aku yang berada di dalam perut kereta tidak dapat melelapkan mata. Kami berhenti di RNR Muar. Tunang kakak ku yang memandu pada ketika itu. Selesai urusan kami di RNR, perjalanan kami diteruskan. Mata aku mula khayal. Aku terlelap. Tiba-tiba letupan tayar bahagian.belakang kanan meletup. Aku yang baru terlelap itu tersentak. Apabila aku sedar, kereta berpusing-pusing hilang kawalan. Ibu ku dan kakak ku yang berada di sebelah ku meraung-raung menyebut kalimah Allah. Adik ku yang duduk di belakang turut terbangun daripada lenanya. Barang yang berada di bonet belakang itu terpelanting ke hadapan. Bapa ku dan tunang kakak ku yang berada di hadapan turut menyebut kalimah Allah. Pada waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan kami sekeluarga. Alhamdulillah kami terselamat daripada kemalangan. Kereta yang di pandu itu akhirnya terbabas ke dalam parit yang baru dikorek itu. Mujur waktu kejadian, tiada satu kereta pun yang berada di atas jalan. Hanya kami sekeluarga yang menaiki TOYOTA WISH. Sekiranya ada kenderaan di atas jalan, pasti akan berlakunya perlanggaran. Alhamdulillah semua selamat. Bapa ku dan tunang kakak ku membantu kami sekeluarga keluar dari perut kereta. Kereta dipenuhi dengan lumpur. Kecederaan yang kami alami cuma kecil. Tangan dan lututku hanya mengami sedikit bengkak. Ibuku bengkak pada mata dan betisnya kerana terhantuk pada kerusi penumpang di hadapan. Ahli keluarga yang lain hanya lenguh sendi kerana berlaku hentakan. Kami sekeluarga mengalami trauma. Kejadian berlaku pada jam 6 pagi di Lebuhraya Tangkak. Sementara menunggu bantuan pihak PLUS, kami menenangkan diri. Ibuku menelefon kakaknya di Muar dan menceritakan segalanya. Kakaknya datang bersama suaminya untuk mengambil kami agar aku boleh meneruskan perjalanan ke UPM untuk melakukan pendaftaran. Berat di sudut hatiku untuk meninggalkan keluarga dalam keadaan trauma. Namun aku harus meneruskan perjalanan aku untuk mencapai cita-cita dan membanggakan kedua-dua ibu bapa ku. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Urusan pendaftaran aku pada hari itu sangat lancar. Mungkin ada hikmah atas apa yang berlaku. Aku berharap perkara ini menjadi pedoman dan semangatku untuk terus belajar. Aku ingin membalas jasa kedua-dua insan yang sentiasa bersamaku ketika susah dan senangku. Aku sayang keluargaku. Ya Allah pelihara mereka daripada segala penyakit dan niat jahat orang sekeliling. Amin.
Sekian,
Cahaya Taqwa