Assalamualaikum wbt
Alangkah enaknya pada pagi yang dingin ini jika dihidangkan kuih keria. Ya, kuih keria yang sememangnya menjadi kegemaran saya sejak kecil lagi. Baiklah, pada hari ini, saya ingin menulis cara-cara membuat kuih keria. Mana tahu bila di rumah nanti bolehlah saya mencubanya.. :)
Kuih keria (atau kuih gelang) merupakan sejenis kuih tradisional Melayu. Berasaskan keledek dengan campuran tepung, gula dan garam. Ia dicanai dan dibentuk seperti cincin ataupun gelang tangan. Biasanya, kuih ini disaluti dengan gula mahupun cairan gula (gula cair).
Kuih Keria |
Bahan-bahan
- 600 gm keledek
- 150 gm tepung gandum
- ¾ cawan gula putih
- Minyak
- Garam
Cara membuat
- Ubi Keledek dibersihkan dan direbus sehingga masak. Setelah masak, biarkan sejuk dan kemudian ubi keledek tersebut dibuang kulitnya dan dilecek sehingga lumat.
- Ubi keledek yang lenyet itu digaul bersama tepung dan garam sehingga sebati. Ambil satu camca adunan tadi, bulat-bulatkan dan kemudian leperkannya. Buat lubang dibahagian tengah adunan tadi.
- Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan ke dalam kuali adunan yang telah siap satu persatu dan goreng sehingga kekuningan. Setelah semua selesai, ketepikan.
- Masak gula dengan sedikit air sehingga pekat dan hampir kering.
- Kemudian masukkan kuih keria tadi dan balik-balikkan di dalam kuali supaya diselaputi gula. Kemudian bolehlah dihidangkan.
Begitu mudah untuk membuat kuih keria...
Resepi kuih keria dan donut ini berbeza. Bahan adunan kuih keria tidak mengandungi ibu roti atau yis. Bahan adunan untuk donut adalah bahan adunan untuk membuat roti dan mengandungi yis, mankala adunan untuk kuih keria ini bukan melalui proses seperti donut. Donut dikategorikan sebagai roti dan roti penaik (roti yang dinaikkan dengan yis).
Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini.
Sekian,
Cahaya Taqwa