Home BBK3410 Story Santai coretan hikmah

Saturday, 24 December 2016

BBK3410: Motivasi diri

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Cuaca dingin mendamaikan dan memberi ketenangan kepada diri. Saya pernah membaca sebuah buku yang memberikan kata-kata motivasi kepada diri saya. Buku yang tidak asing buat pelajar UPM iaitu buku 7 KEMAHIRAN UNGGUL MAHASISWA GLOKAL..


Apa yang menarik tentang buku ini ialah kerana penulisnya yang merupakan Timbalan Naib Canselor UPM (TNC) iaitu Mohammad Shatar Sabran dan dua orang rakannya iaitu Samir Muhazzar Amin dan Mohd Fauzi Abd Karim. Saya sering mendengar ceramah yang diberikan oleh TNC yang kerap membakar jiwa saya untuk terus berusaha mencapai cita-cita. Kata-katanya yang berkeyakinan memberi impak yang positif kepada diri saya.

Segala perisian yang terkandung dalam buku ini berkaitan pencapaian akademik semata-mata tidak akan menjamin pelajar untuk diterima terus ke pasaran kerjaya. Elemen tambahan yang diinginkan oleh setiap majikan pada hari ini ialah kemahiran insaniah atau modal insan yang dimiliki oleh setiap pelajar. Antara kemahiran insaniah yang perlu dimiliki oleh setiap pelajar pada hari ini ialah kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaraan sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan nilai profesional dan kemahiran kepimpinan. 


Buku ini banyak memberikan motivasi kepada diri saya. Pelbagai motivasi dan tips dikemukakan di dalam buku ini. Antara elemen yang menarik perhatian saya ialah komunikasi dalam Bahasa Inggeris. Sebagai seorsng mahasiswi yang baru sahaja menapak di alam universiti, saya tidak mempunyai keyakinan dalam berbahasa Inggeris. Namun, buku ini memberikan tips mempelajari Bahasa Inggeris. Antaranya, selalu berbual di dalam Bahasa Inggeris, tidak malu berbual dalam Bahasa Inggeris walaupun banyak kesilapan yang dilakukan dan rajin mencuba tanpa mempedulikan apa yang orang lain katakan. Sebagai manusia, kita pasti mempunyai sifat takut terhadap pandangan orang lain. Namun, saya memberanikan diri untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris tanpa menghiraukan sindiran orang lain kerana sebutan saya yang agak kemelayuan itu. Saya percaya suatu hari nanti kelancaran saya dalam berbahasa Inggeris akan tercapai. 

Saya menjadikan tips-tips di dalam buku ini sebagai panduan untuk saya berusaha dan terus berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang. Semoga apa yang diingini dan dihajati menjadi kenyataan. Amin.

Sekian,
Cahaya Taqwa

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum W.B.T. Nama saya Nurhanisah binti Abdul Jalil & berasal dari Johor