Home BBK3410 Story Santai coretan hikmah

Saturday, 24 December 2016

BBK3410: Kuih keria



Assalamualaikum wbt

Alangkah enaknya pada pagi yang dingin ini jika dihidangkan kuih keria. Ya, kuih keria yang sememangnya menjadi kegemaran saya sejak kecil lagi. Baiklah, pada hari ini, saya ingin menulis cara-cara membuat kuih keria. Mana tahu bila di rumah nanti bolehlah saya mencubanya.. :)

Kuih keria (atau kuih gelang) merupakan sejenis kuih tradisional Melayu. Berasaskan keledek dengan campuran tepung, gula dan garam. Ia dicanai dan dibentuk seperti cincin ataupun gelang tangan. Biasanya, kuih ini disaluti dengan gula mahupun cairan gula (gula cair).

Image result for kuih keria
Kuih Keria 
RESEPI

Bahan-bahan

  1. 600 gm keledek
  2. 150 gm tepung gandum
  3. ¾ cawan gula putih
  4. Minyak
  5. Garam
Cara membuat

  1. Ubi Keledek dibersihkan dan direbus sehingga masak. Setelah masak, biarkan sejuk dan kemudian ubi keledek tersebut dibuang kulitnya dan dilecek sehingga lumat.
  2. Ubi keledek yang lenyet itu digaul bersama tepung dan garam sehingga sebati. Ambil satu camca adunan tadi, bulat-bulatkan dan kemudian leperkannya. Buat lubang dibahagian tengah adunan tadi.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan ke dalam kuali adunan yang telah siap satu persatu dan goreng sehingga kekuningan. Setelah semua selesai, ketepikan. 
  4. Masak gula dengan sedikit air sehingga pekat dan hampir kering.
  5. Kemudian masukkan kuih keria tadi dan balik-balikkan di dalam kuali supaya diselaputi gula. Kemudian bolehlah dihidangkan.
Begitu mudah untuk membuat kuih keria...

Resepi kuih keria dan donut ini berbeza. Bahan adunan kuih keria tidak mengandungi ibu roti atau yis. Bahan adunan untuk donut adalah bahan adunan untuk membuat roti dan mengandungi yis, mankala adunan untuk kuih keria ini bukan melalui proses seperti donut. Donut dikategorikan sebagai roti dan roti penaik (roti yang dinaikkan dengan yis).

Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini. 

Sekian,
Cahaya Taqwa

BBK3410: Motivasi diri

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Cuaca dingin mendamaikan dan memberi ketenangan kepada diri. Saya pernah membaca sebuah buku yang memberikan kata-kata motivasi kepada diri saya. Buku yang tidak asing buat pelajar UPM iaitu buku 7 KEMAHIRAN UNGGUL MAHASISWA GLOKAL..


Apa yang menarik tentang buku ini ialah kerana penulisnya yang merupakan Timbalan Naib Canselor UPM (TNC) iaitu Mohammad Shatar Sabran dan dua orang rakannya iaitu Samir Muhazzar Amin dan Mohd Fauzi Abd Karim. Saya sering mendengar ceramah yang diberikan oleh TNC yang kerap membakar jiwa saya untuk terus berusaha mencapai cita-cita. Kata-katanya yang berkeyakinan memberi impak yang positif kepada diri saya.

Segala perisian yang terkandung dalam buku ini berkaitan pencapaian akademik semata-mata tidak akan menjamin pelajar untuk diterima terus ke pasaran kerjaya. Elemen tambahan yang diinginkan oleh setiap majikan pada hari ini ialah kemahiran insaniah atau modal insan yang dimiliki oleh setiap pelajar. Antara kemahiran insaniah yang perlu dimiliki oleh setiap pelajar pada hari ini ialah kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaraan sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan nilai profesional dan kemahiran kepimpinan. 


Buku ini banyak memberikan motivasi kepada diri saya. Pelbagai motivasi dan tips dikemukakan di dalam buku ini. Antara elemen yang menarik perhatian saya ialah komunikasi dalam Bahasa Inggeris. Sebagai seorsng mahasiswi yang baru sahaja menapak di alam universiti, saya tidak mempunyai keyakinan dalam berbahasa Inggeris. Namun, buku ini memberikan tips mempelajari Bahasa Inggeris. Antaranya, selalu berbual di dalam Bahasa Inggeris, tidak malu berbual dalam Bahasa Inggeris walaupun banyak kesilapan yang dilakukan dan rajin mencuba tanpa mempedulikan apa yang orang lain katakan. Sebagai manusia, kita pasti mempunyai sifat takut terhadap pandangan orang lain. Namun, saya memberanikan diri untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris tanpa menghiraukan sindiran orang lain kerana sebutan saya yang agak kemelayuan itu. Saya percaya suatu hari nanti kelancaran saya dalam berbahasa Inggeris akan tercapai. 

Saya menjadikan tips-tips di dalam buku ini sebagai panduan untuk saya berusaha dan terus berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang. Semoga apa yang diingini dan dihajati menjadi kenyataan. Amin.

Sekian,
Cahaya Taqwa

Friday, 23 December 2016

BBK3410: Rohingya disembelih...





Assalamualaikum wbt.

KEJAM!! ZALIM!! Itulah antara ungkapan yang mampu saya ungkapkan penindasan yang telah dilakukan oleh Junta Tentera Myanmar terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.  

Image result for Rentetan cerita rohingya
Mereka dihalau dari tanah air mereka sendiri dengan cara yang sangat kejam. Jikalau mereka enggan keluar, mereka diancam. Mereka ditangkap dan dibunuh tanpa perbicaraan, Tanah-tanah dan binatang ternakan mereka dirampas sesuka hati, Banyak masjid dimusnahkan dan generasi muda di halang hak pendidikan mereka.

Kesemua ini dilakukan bagi menekan etnik ini seterusnya melakukan pembersihan etnik dari tanah air mereka sendiri. Menurut sejarah, orang Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma.

Kebanyakkan populasi Rohingya tertumpu didua buah bandar utara Negeri Rakhine (yang dahulunya dikenali sebagai Arakan) manakala sebahagian kecil menetap di bandar Akyab, Rathedaung dan Kyauktaw. 

Masalah etnik Rohingya bermula apabila kerajaan junta tentera Myanmar berasa kurang senang dengan mereka. Mereka menganggap etnik ini tiada hak untuk menetap di Myanmar kerana agama dan asal usul mereka. 

Apa yang dikesali di sini adalah kekurangan kesedaran umat Islam pada nasib saudara seagama mereka ini. Meskipun kes mereka tidaklah sepopular penindasan umat Islam di Palestin dan China, namun apa yang telah berlaku pada mereka tidak banyak beza. 

Mereka ditindas dan dihalau dari tanah air mereka. Hak mereka dinafi dan dicabuli sesuka hati. Paling menyedihkan apabila negara umat Islam sendiri tidak membela nasib mereka. Nasib etnik ini tidak dibela sewajarnya. 

Mungkin kes kemanusiaan yang berlaku pada pelarian Etnik Rohingya ini tidak dipandang secara serius seperti mana kita memandang isu yang berlaku pada saudara kita di Palestin. Namun apa yang pasti, mereka merupakan saudara seagama kita. Kita seharusnya peka dengan situasi mereka sekarang. 

Jika isu Palestin mampu mendapat liputan meluas dan kutipan tabung amal secara besar-besaran, mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk etnik Rohingya ini? Krisis yang berlaku pada mereka seharusnya dipandang secara serius. Kita sepatutnya bersama-sama memikirkan penyelesaian yang tepat bagaimana hendak membela nasib mereka sebaik mungkin. 

Saya berharap semoga kita, sebagai umat Islam tidak memandang secara sebelah mata terhadap isu umat Islam Rohingya ini. Mereka adalah saudara seagama kita juga. Mekanisme penyelesaian isu ini seharusnya difikirkan bersama dan dilaksanakan dengan secara bersama dan konsisten. 

Adakah kita berharap musuh-musuh Islam akan membantu kita? Oh! Tidak mungkin. Sejarah sendiri menunjukkan siapakah sebenar musuh-musuh Islam. Dengan kesedaran yang ada, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan tenaga bagi menyelesaikan masalah umat Islam di Arakan ini. Semoga hak dan nasib mereka dibela sewajarnya. InsyaAllah.. 
Image result for Rentetan cerita rohingya

Sekian, 
Cahaya Taqwa

BBK3410: Program Jump To Origin

Assalamualaikum wbt

Program Jump To Origin adalah program Bakti Siswa yang pertama kali dilakukan di perkampungan orang asli. Program ini juga merupakan program pertama yang saya sertai. Program yang mampat dengan ukhwah sesama manusia. Program yang memberi seribu satu makna dalam hidup saya.

Tanggal 9 Disember 2016. Kekecewaan jelas terlukis pada riak wajah saya. Hal ini kerana, pada tarikh tersebut merupakan tarikh program Jump To Origin dan juga pementasan drama "Oh Saat" untuk kelas BBK3410. Namun begitu, saya terpaksa mengorbankan satu daripada program tersebut. Saya memilih untuk menyertai Bakti Siswa kerana program ini wajib untuk disertai.

Hari pertama (9 Disember 2016)
Perjalanan yang sungguh meletihkan. Setibanya kami di Kampung Leryar, Cameron Highlands, kami disambut dengan penuh mesra oleh penduduk kampung tersebut. Terimbau kembali bayangan saya tentang kampung tersebut. Oh, mungkin kampung ini berbecak, berlumpur dan sebagainya. Namun begitu, bayangan saya itu dipadam apabila bas kami tiba di situ. Rumah-rumah batu tersergam indah dihiasi dengan keindahan gunung berkabus. Mungkin ini merupakan rumah orang asli yang telah dimodenkan. Mereka juga mempunyai kenderaan seperti motosikal dan kereta, gelanggang futsal dan juga dewan terbuka. Wah, sungguh moden. Keriangan anak-anak orang asli yang riang dan gamat itu agak mengganggu keadaan kami yang ingin memunggah barang-barang. Mereka mungkin gembira kerana didatangi tetamu. 

Hari kedua. (10 Disember 2016)
Buat pertama kalinya saya menjadi pengacara majlis untuk majlis perasmian Jump To Origin. Perasaan yang tidak dapat digambarkan. Pada hari itu juga pelbagai aktiviti dilakukan seperti perlawanan futsal bersama anak muda orang asli, pertandingan mewarna buat kanak-kanak dan juga sukaneka ibu bapa. Sungguh girang dan gembira. Mereka memberikan kerjasama yang terbaik dan segala aktiviti berjalan dengan lancar.

Hari ketiga (11 Disember 2016)
Hari terakhir kami di perkampungan ini. Sayu hati ingin meninggalkan kenangan. Segalanya saya sematkan dalam hati. Kenangan yang indah. Usai majlis penutupan, kami bersama-sama berganding bahu bergotong-royong sebelum berangkat pulang. Kenangan yang indah tidak perlu dipadam malah perlu disemat di dalam hati. Terima kasih untuk kenangan 3 hari 2 malam ini. 

Sekian,
Cahaya Taqwa



Monday, 19 December 2016

BBK3410: Tangisan darah Aleppo

Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah. Saya diberi kesempatan waktu untuk menaip entri di blog ini setelah sekian lama tidak menaip kerana kesibukan diri untuk menamatkan semesta pertama ini.

Baiklah, entri saya ini berkaitan dengan Aleppo, Syria diserang lagi. 💔


Image result for kisah aleppo

Wednesday, 26 October 2016

BBK3410: SULALATUS SALATIN

Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana saya masih diberi peluang untuk menaip entri di dalam blog ini. Entri pada kali ini saya ingin mengupas tentang satu buku yang sinonim buat pelajar sastera Prauniversiti iaitu karya epik Sulalatus Salatin. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Namun begitu, terdapat pendapat yang mendakwa bahawa apabila Portugis menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa.

Saya begitu tertarik dengan rentetan sejarah yang terkandung di dalam hikayat ini. Hikayat ini mempunyai 15 bab kesemuanya. Hikayat ini menceritakan asal usul raja-raja Melayu yang dikatakan  berasal daripada Raja Iskandar Zulkarnain sehingga pada zaman Raja Abdullah yang memerintah kerajaan negeri Johor.  Pengisian yang terkandung dalam hikayat ini menggunakan bahasa melayu klasik. Banyak perkataan-perkataan klasik yang digunakan membuatkan saya kurang memahami apa yang cuba disampaikan. Namun begitu, saya dipandu oleh guru saya sewaktu di prauniversiti. Guru saya membantu saya dan rakan-rakan dalam memahami dan menghayati hikayat ini. Di samping itu, saya juga banyak merujuk blog-blog yang merumus hikayat Sulalatus Salatin ini. 

Masih segar dalam ingatan saya bahawa hikayat ini banyak memberi pengajaran dalam kehidupan seharian saya. Sebagai contoh, peristiwa Hang Hussain Cengang melanggar adab-adab ketika menjamu makanan dan disindir oleh rakannya kerana melanggar tuntutan Islam. Hal ini bertepatan dengan ajaran islam yang melarang umatnya membazir. Makanan merupakan rezeki kurniaan Allah dan kita sebagai manusia tidak harus membazir. Sulalatus Salatin mempunyai sifat kreatif dalam mengutarakan percakapan dengan menyelitkan unsur-unsur tertentu supaya percakapan mereka tidak menyinggung perasaan orang lain secara terus. Ini menunjukkan masyarakat zaman dahulu mempunyai nilai-nilai kemelayuan yang tinggi jika dibandingkan dengan masyarakat pada zaman sekarang.

Oleh itu, sebagai pembaca, kita mestilah mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam hikayat. Jangan dibiarkan sejarah berulang lagi. 

Image result for pengajaran dalam sulalatus salatin
Buku yang saya pelajari sewaktu di prauniversiti.

Sekian,
Cahaya Taqwa

Tuesday, 25 October 2016

BBK3410: PORT DICKSON

Assalamualaikum W.B.T

Tanggal 21 Disember 2014 merupakan detik terindah yang masih terpahat dalam diri saya. Pada tarikh itu, kami sekeluarga meluangkan masa bercuti bersama-sama di Port Dickson, Negeri Sembilan. Percutian selama dua hari dua malam merupakan percutian pertama kami tanpa pemandu pelancong. Kami hanya berpandukan aplikasi waze. Percutian ini bertujuan meraikan saya yang telah tamat persekolahan di tingkatan 5. 

Sebenarnya kami mengalami kesukaran untuk mencari penginapan pada hari pertama percutian. Seingat saya pada hari tersebut merupakan cuti umum. Jadi, bilik-bilik di hotel juga telah penuh ditempah pelanggan. Kami mencari di sekitar kawasan Teluk Kemang, namun nasib kami masih sama. Perkara yang terlintas dalam benak fikiran saya adalah untuk bermalam di dalam kereta sahaja. Namun begitu, kesungguhan yang terpancar pada air muka ayah memberi sinar baharu kepada kami sekeluarga. Ayah berusaha untuk mencari penginapan yang selesa buat kami sekeluarga. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan Ilahi. Kami menginap di Sunrise Apartment, Teluk Kemang dan harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan. Terima kasih kepada ayah kerana tidak lelah walaupun sudah lewat malam. 

Keesokan hari, kami sekeluarga memulakan percutian kami untuk melawat Muzium Tentera Darat, Port Dickson. Setibanya di sana, saya teruja melihat jet-jet pejuang dan kereta kebal yang tidak pernah dilihat di hadapan mata. Keterujaaan saya turut dirasai oleh ahli keluarga. Antara tarikan yang istimewa pada saya di muzium tersebut ialah terowong yang menceritakan bagaimana Parti Komunis Malaya (PKM) pada suatu ketika dahulu tinggal di dalamnya. Bagi yang meminati sejarah peperangan, di sinilah tempat yang telah dipadatkan dengan bahan-bahan informasi ketenteraan.

Muzium Tentera Darat, PD

Muzium Tentera Darat, PD

Pada hari terakhir kami di sini, kami sempat menjengah di Alive 3D Art Gallery, Lukut. Tempat ini juga merupakan tumpuan utama pelancong yang datang melancong di Port Dickson. Tempat ini merupakan sebuah rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi lebih menarik berkonsepkan seni 3D. Kunjungan kami di situ sangat lancar dan tiada sebarang kesesakan yang berlaku. Nasib kami baik pada waktu itu kerana menurut sumber yang pernah berkunjung di situ mengatakan bahawa tempat itu sentiasa dipenuhi pengunjung. Alhamdulillah, kami meneroka galeri 3D dengan keterujaan yang maksima kerana sepanjang hidup saya, saya tidak pernah melihat lukisan 3D yang menarik dilukis di dinding. Itu merupakan pengalaman indah yang tidak mungkin terpadam dalam memori saya. 

Alive 3D Art Gallery



Inilah travelog perjalanan saya bersama-sama keluarga tercinta. Saya membawa harapan dan impian yang besar untuk membawa kedua-dua ibu bapa saya menunaikan haji dan umrah. InshaAllah. Itu merupakan cita-cita saya sejak di bangku persekolahan. 

"Emak, ayah, doakan agar cita-cita saya tercapai."

Sekian,
Cahaya Taqwa

BBK3410: BALING! BALING!

Assalamualaikum W.B.T.

"Baling! Baling! Baling!" 
Teriakan ini masih segar dalam ingatan saya ketika saya dan rakan-rakan bermain permainan "Baling Selipar" pada suatu ketika dahulu. Zaman cilik yang sering diceriakan dengan tawa riang kami bermain permainan tradisional bersama-sama. Pada zaman itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan zaman globalisasi pada masa kini. 
Image result for baling selipar
Baling Selipar

Permainan baling selipar merupakan satu daripada permainan tradisional rakyat yang terkenal sejak zaman dahulu lagi. Permainan ini juga turut dikenali sebagai tuju kasut, tuju selipar dan tikam selipar. Pada zaman dahulu, permainan baling selipar sering dimainkan oleh anak-anak cilik di kampung-kampung. Kebiasaannya pada waktu senggang, kebanyakan kanak-kanak di sesebuah kejiranan akan berkumpul bagi memainkan permainan baling selipar ini. Pada zaman moden ini, permainan ini sering digantikan dengan permainan baling tin atau tuju tin.

Terimbau kembali sewaktu saya bermain permainan ini bersama rakan-rakan. Kami berkejaran dan mensasarkan serangan kepada pasukan pertahanan agar mereka tidak dapat membina semula selipar yang telah dirobohkan itu. Sungguh indah kenangan itu. Peluh yang membasahi baju kami menandakan betapa bersungguh-sungguhnya kami bermain sehingga ibu datang untuk menjemput kami pulang kerana terlalu asyik bermain. Permainan baling selipar bagi saya bukan sahaja menghiburkan, malah membantu dalam pengamalan gaya hidup sihat memandangkan permainan ini juga memerlukan tenaga yang banyak ketika permainan dimulakan. Selain itu, permainan baling selipar juga menggalakkan interaksi dan komunikasi antara satu sama lain, sekaligus mengeratkan hubungan sesama pemain.

Meskipun arus teknologi semakin bergerak deras sederas air sungai selepas hujan, semestinya permainan baling selipar tidak akan luput ditelan dek zaman dengan adanya pencinta-pencinta permainan tradisional. Sebagai contoh, pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar negara sering mengadakan pertandingan permainan tradisional sebagai salah satu aktiviti mereka, dan permainan baling selipar adalah salah satunya.

Image result for baling selipar
Keriangan kanak-kanak bermain

Sekian,
Cahaya Taqwa



Assalamualaikum W.B.T. Nama saya Nurhanisah binti Abdul Jalil & berasal dari Johor