Assalamualaikum W.B.T
Tanggal 21 Disember 2014 merupakan detik terindah yang masih terpahat dalam diri saya. Pada tarikh itu, kami sekeluarga meluangkan masa bercuti bersama-sama di Port Dickson, Negeri Sembilan. Percutian selama dua hari dua malam merupakan percutian pertama kami tanpa pemandu pelancong. Kami hanya berpandukan aplikasi waze. Percutian ini bertujuan meraikan saya yang telah tamat persekolahan di tingkatan 5.
Sebenarnya kami mengalami kesukaran untuk mencari penginapan pada hari pertama percutian. Seingat saya pada hari tersebut merupakan cuti umum. Jadi, bilik-bilik di hotel juga telah penuh ditempah pelanggan. Kami mencari di sekitar kawasan Teluk Kemang, namun nasib kami masih sama. Perkara yang terlintas dalam benak fikiran saya adalah untuk bermalam di dalam kereta sahaja. Namun begitu, kesungguhan yang terpancar pada air muka ayah memberi sinar baharu kepada kami sekeluarga. Ayah berusaha untuk mencari penginapan yang selesa buat kami sekeluarga. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan Ilahi. Kami menginap di Sunrise Apartment, Teluk Kemang dan harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan. Terima kasih kepada ayah kerana tidak lelah walaupun sudah lewat malam.
Keesokan hari, kami sekeluarga memulakan percutian kami untuk melawat Muzium Tentera Darat, Port Dickson. Setibanya di sana, saya teruja melihat jet-jet pejuang dan kereta kebal yang tidak pernah dilihat di hadapan mata. Keterujaaan saya turut dirasai oleh ahli keluarga. Antara tarikan yang istimewa pada saya di muzium tersebut ialah terowong yang menceritakan bagaimana Parti Komunis Malaya (PKM) pada suatu ketika dahulu tinggal di dalamnya. Bagi yang meminati sejarah peperangan, di sinilah tempat yang telah dipadatkan dengan bahan-bahan informasi ketenteraan.
Muzium Tentera Darat, PD |
Muzium Tentera Darat, PD |
Pada hari terakhir kami di sini, kami sempat menjengah di Alive 3D Art Gallery, Lukut. Tempat ini juga merupakan tumpuan utama pelancong yang datang melancong di Port Dickson. Tempat ini merupakan sebuah rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi lebih menarik berkonsepkan seni 3D. Kunjungan kami di situ sangat lancar dan tiada sebarang kesesakan yang berlaku. Nasib kami baik pada waktu itu kerana menurut sumber yang pernah berkunjung di situ mengatakan bahawa tempat itu sentiasa dipenuhi pengunjung. Alhamdulillah, kami meneroka galeri 3D dengan keterujaan yang maksima kerana sepanjang hidup saya, saya tidak pernah melihat lukisan 3D yang menarik dilukis di dinding. Itu merupakan pengalaman indah yang tidak mungkin terpadam dalam memori saya.
Alive 3D Art Gallery |
Inilah travelog perjalanan saya bersama-sama keluarga tercinta. Saya membawa harapan dan impian yang besar untuk membawa kedua-dua ibu bapa saya menunaikan haji dan umrah. InshaAllah. Itu merupakan cita-cita saya sejak di bangku persekolahan.
"Emak, ayah, doakan agar cita-cita saya tercapai."
Sekian,
Cahaya Taqwa
No comments:
Post a Comment