Assalamualaikum W.B.T
Pada hari ini saya ingin berkongsikan tentang juadah tradisional negeri Johor iaitu lontong. Lontong merupakan menu yang sangat lazat untuk dijamukan kepada tetamu dan ahli keluarga. Lontong ini juga merupakan makanan kegemaran saya. Ya, memikirkan tentang makanan ini membuatkan hati meronta-ronta inginkan lontong. Seminggu lagi akan berlangsungnya cuti pertengahan semesta, sudah semestinya saya akan memujuk ibu saya untuk melayan anak tekak saya yang teringinkan juadah lontong ini. Lontong sering dijamu ketika waktu bersarapan.
Oleh kerana keterujaan saya untuk pulang ke kampung semakin berkobar-kobar hari demi hari, saya ingin berkongsikan resepi Lontong Johor ini.
LIMA BAHAGIAN UTAMA
- Nasi impit
- Kuah lodeh
- Sambal kacang/ sambal tumis
- Serunding
- Telur rebus dipotong dua
NASI IMPIT
CARA PENYEDIAAN:
- 1 kotak beras nasi impit (ready made)
- Masukkan paket nasi impit tersebut ke dalam air dan masak
- Apabila plastik tersebut telah kembung, keluarkan nasi impit tersebut dan dibiarkan sejuk sebelum dipotong menggunakan pisau.
SAYUR LODEH (masak lemak)
BAHAN-BAHAN UTAMA:
- 8 tangkai kacang panjang, dihiris serong
- 2 keping tauhu, dipotong kiub
- 50 gram fucuk atau tauhu kering, dipotong kecil dan direndam sehingga lembut
- 1 batang lobak merah saiz sederhana, dipotong seperti anak mancis
- 1 biji sengkuang saiz kecil, dipotong seperti anak mancis
- 3 keping tempe, dipotong kiub
- 1/4 bahagian kobis bulat, dihiris kecil
- 1 biji kentang saiz besar, dikupas dan dipotong seperti anak mancis
- 1200 ml santan cair
- 400 ml pati santan
- Air jika perlu
- 1 cekak soo hoon, dikerat pendek
- 2 batang serai, dititik
- 1/2 inci lengkuas, diketuk
- 1 kiub pati ikan bilis
- 3/4 camca teh serbuk kunyit
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 2 camca besar udang kering direndamkan selama 10 minit dan ditoskan
CARA PENYEDIAAN:
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai yang dititik dan lengkuas sehingga harum. Masukkan bahan kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
- Masukkan lobak merah, sengkuang dan kentang. Kacau rata dan tuang santan cair. Biar mendidih. Masukkan kiub ikan bilis, tempe dan fucuk (toskan). Masak hingga semua lembut. Masukkan kacang panjang, tauhu dan kobis. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air. Biar mendidih.
- Tuang pati santan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan soo hoon, kacau dan masak dengan api sederhana hingga soo hoon lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama ketupat/nasi impit, serunding, sambal tumis dan telur rebus.
SERUNDING KELAPA (PILIHAN)
BAHAN-BAHAN YANG DITUMBUK:
- Serai, sedikit cili kering, 2 ulas bawang putih, 1 biji bawang besar, lengkuas, halia dan belacan
- 1/2 biji kelapa parut
- Garam dan gula sebagai perisa
- 1 camca teh perahan air asam jawa
- Sedikit minyak
CARA PENYEDIAAN:
- Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk
- Masukkan air asam, garam dan gula sebagai perasa
- Masukkan kelapa parut dan digoreng sehingga kering iaitu sehingga kelapa berderai.
SAMBAL TUMIS
BAHAN-BAHAN UNTUK DIKISAR:
- 6 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1/2 inci halia
- 1 inci belacan
CARA PENYEDIAAN:
- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing, gunakan api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
- Tambah gula dan garam secukup rasa, masukkan hirisan bawang besar. Toskan ikan bilis, perah dan masukkan ke dalam sambal, tambah sedikit air. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga sambal pekat. Jangan lupa untuk merasa kesedapannya.
Alhamdulillah. Di atas merupakan perkongsian resepi lontong yang enak. Walaupun resepi ini rumit dan memerlukan masa yang banyak, tetapi percayalah bahawa resepi ini adalah resepi yang terbaik dan lazat.
Lontong untuk dijamu. |
Cahaya Taqwa
No comments:
Post a Comment