Home BBK3410 Story Santai coretan hikmah

Tuesday, 25 October 2016

BBK3410: REWANG


Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Ilahi kerana masih mengurniakan nikmat untuk hidup dan meneruskan kehidupan. 

Rewang? Rata-rata masyarakat kita faham apa maksudnya dengan kata rewang. Tapi ada juga segelintir masyarakat yang berasal dari negeri sebelah timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang yang tidak memahami budaya rewang ini. Jadi apakah itu Rewang?

Sebenarnya, perkataan Rewang ini berasalnya dari bahasa jawa yang membawa maksud beramai-ramai membanting tulang bergotong-royong dalam menyediakan persiapan sesuatu majlis. Selalunya majlis yang memerlukan kerja Rewang adalah majlis perkahwinan, sambut menantu, cukur jambul dan sebagainya. 


Image result for budaya rewang

Aktiviti rewang ini sering dilakukan beberapa hari sebelum sesuatu majlis perkahwinan berlangsung. Dalam majlis perkahwinan pada masa kini, mereka sering menggunakan perkhidmatan katering untuk menguruskan sesuatu majlis. Namun begitu, masih terdapat masyarakat yang masih mementingkan budaya masyarakat jawa ini. 

Saya merupakan anak jati negeri Johor. Jadi, aktiviti rewang ini begitu sinonim dalam diri saya. Saya sering mengikuti kedua-dua ibu bapa saya menyertai aktiviti rewang di rumah tetangga yang ingin melangsungkan sesuatu majlis. Kebiasaannya, bagi kaum wanita yang melibatkan diri dalam aktiviti ini, kami lebih menumpukan terhadap aktiviti menguruskan bahan masakan seperti mengupas bawang, memotong segala sayur-sayuran dan sebagainya. Bagi kaum lelaki pula, mereka akan menguruskan aktiviti yang berat seperti memasang khemah, menyusun meja dan sebagainya. Sudah menjadi budaya kami untuk menghulurkan tangan dalam membantu menguruskan sesuatu majlis. 


Image result for budaya rewang

Kelebihan aktiviti rewang ini dapat memberi 1001 maanfaat kepada masyarakat, terutamanya masyarakat di kampung yang masih ligat menjalankan aktiviti rewang. Di samping bekerjasama membuat tugas yang diberikan, ia juga mengeratkan lagi tali persaudaraan antara satu sama lain. Ada pendapat mengatakan bahawa budaya Rewang dapat dijadikan satu medan dakwah peringkat keluarga, sanak-saudara dan jiran terdekat. Tambahan pula, menurut pendapat yang mengutarakan bahawa keutamaan rewang adalah untuk memulakan misi amal, ziarah dan ukhwah di samping menerapkan nilai adat dan budaya setempat di dalam masyarakat kita.

Secara jujurnya, saya berpendapat bahawa amalan budaya Rewang ini sangat bagus kerana kita dapat bersuai kenal dengan jiran tetangga yang sekian lama tidak bertemu. Seterusnya, saya juga dapat mengasah sikap tolong-menolong, berganding bahu dan bersatu padu antara satu sama lain. Namun begitu, perkhidmatan katering yang ditawarkan merupakan suatu perkara yang merentap jiwa saya kerana perkhidmatan ini bakal menenggelamkan budaya masyarakat jawa ini. 

Sekian,
Cahaya Taqwa


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum W.B.T. Nama saya Nurhanisah binti Abdul Jalil & berasal dari Johor