Assalamualaikum W.B.T.
"Baling! Baling! Baling!"
Teriakan ini masih segar dalam ingatan saya ketika saya dan rakan-rakan bermain permainan "Baling Selipar" pada suatu ketika dahulu. Zaman cilik yang sering diceriakan dengan tawa riang kami bermain permainan tradisional bersama-sama. Pada zaman itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan zaman globalisasi pada masa kini.
Baling Selipar |
Permainan baling selipar merupakan satu daripada permainan tradisional rakyat yang terkenal sejak zaman dahulu lagi. Permainan ini juga turut dikenali sebagai tuju kasut, tuju selipar dan tikam selipar. Pada zaman dahulu, permainan baling selipar sering dimainkan oleh anak-anak cilik di kampung-kampung. Kebiasaannya pada waktu senggang, kebanyakan kanak-kanak di sesebuah kejiranan akan berkumpul bagi memainkan permainan baling selipar ini. Pada zaman moden ini, permainan ini sering digantikan dengan permainan baling tin atau tuju tin.
Terimbau kembali sewaktu saya bermain permainan ini bersama rakan-rakan. Kami berkejaran dan mensasarkan serangan kepada pasukan pertahanan agar mereka tidak dapat membina semula selipar yang telah dirobohkan itu. Sungguh indah kenangan itu. Peluh yang membasahi baju kami menandakan betapa bersungguh-sungguhnya kami bermain sehingga ibu datang untuk menjemput kami pulang kerana terlalu asyik bermain. Permainan baling selipar bagi saya bukan sahaja menghiburkan, malah membantu dalam pengamalan gaya hidup sihat memandangkan permainan ini juga memerlukan tenaga yang banyak ketika permainan dimulakan. Selain itu, permainan baling selipar juga menggalakkan interaksi dan komunikasi antara satu sama lain, sekaligus mengeratkan hubungan sesama pemain.
Meskipun arus teknologi semakin bergerak deras sederas air sungai selepas hujan, semestinya permainan baling selipar tidak akan luput ditelan dek zaman dengan adanya pencinta-pencinta permainan tradisional. Sebagai contoh, pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar negara sering mengadakan pertandingan permainan tradisional sebagai salah satu aktiviti mereka, dan permainan baling selipar adalah salah satunya.
Keriangan kanak-kanak bermain |
Sekian,
Cahaya Taqwa
No comments:
Post a Comment