Home BBK3410 Story Santai coretan hikmah

Wednesday, 26 October 2016

BBK3410: SULALATUS SALATIN

Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana saya masih diberi peluang untuk menaip entri di dalam blog ini. Entri pada kali ini saya ingin mengupas tentang satu buku yang sinonim buat pelajar sastera Prauniversiti iaitu karya epik Sulalatus Salatin. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Namun begitu, terdapat pendapat yang mendakwa bahawa apabila Portugis menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa.

Saya begitu tertarik dengan rentetan sejarah yang terkandung di dalam hikayat ini. Hikayat ini mempunyai 15 bab kesemuanya. Hikayat ini menceritakan asal usul raja-raja Melayu yang dikatakan  berasal daripada Raja Iskandar Zulkarnain sehingga pada zaman Raja Abdullah yang memerintah kerajaan negeri Johor.  Pengisian yang terkandung dalam hikayat ini menggunakan bahasa melayu klasik. Banyak perkataan-perkataan klasik yang digunakan membuatkan saya kurang memahami apa yang cuba disampaikan. Namun begitu, saya dipandu oleh guru saya sewaktu di prauniversiti. Guru saya membantu saya dan rakan-rakan dalam memahami dan menghayati hikayat ini. Di samping itu, saya juga banyak merujuk blog-blog yang merumus hikayat Sulalatus Salatin ini. 

Masih segar dalam ingatan saya bahawa hikayat ini banyak memberi pengajaran dalam kehidupan seharian saya. Sebagai contoh, peristiwa Hang Hussain Cengang melanggar adab-adab ketika menjamu makanan dan disindir oleh rakannya kerana melanggar tuntutan Islam. Hal ini bertepatan dengan ajaran islam yang melarang umatnya membazir. Makanan merupakan rezeki kurniaan Allah dan kita sebagai manusia tidak harus membazir. Sulalatus Salatin mempunyai sifat kreatif dalam mengutarakan percakapan dengan menyelitkan unsur-unsur tertentu supaya percakapan mereka tidak menyinggung perasaan orang lain secara terus. Ini menunjukkan masyarakat zaman dahulu mempunyai nilai-nilai kemelayuan yang tinggi jika dibandingkan dengan masyarakat pada zaman sekarang.

Oleh itu, sebagai pembaca, kita mestilah mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam hikayat. Jangan dibiarkan sejarah berulang lagi. 

Image result for pengajaran dalam sulalatus salatin
Buku yang saya pelajari sewaktu di prauniversiti.

Sekian,
Cahaya Taqwa

Tuesday, 25 October 2016

BBK3410: PORT DICKSON

Assalamualaikum W.B.T

Tanggal 21 Disember 2014 merupakan detik terindah yang masih terpahat dalam diri saya. Pada tarikh itu, kami sekeluarga meluangkan masa bercuti bersama-sama di Port Dickson, Negeri Sembilan. Percutian selama dua hari dua malam merupakan percutian pertama kami tanpa pemandu pelancong. Kami hanya berpandukan aplikasi waze. Percutian ini bertujuan meraikan saya yang telah tamat persekolahan di tingkatan 5. 

Sebenarnya kami mengalami kesukaran untuk mencari penginapan pada hari pertama percutian. Seingat saya pada hari tersebut merupakan cuti umum. Jadi, bilik-bilik di hotel juga telah penuh ditempah pelanggan. Kami mencari di sekitar kawasan Teluk Kemang, namun nasib kami masih sama. Perkara yang terlintas dalam benak fikiran saya adalah untuk bermalam di dalam kereta sahaja. Namun begitu, kesungguhan yang terpancar pada air muka ayah memberi sinar baharu kepada kami sekeluarga. Ayah berusaha untuk mencari penginapan yang selesa buat kami sekeluarga. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan Ilahi. Kami menginap di Sunrise Apartment, Teluk Kemang dan harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan. Terima kasih kepada ayah kerana tidak lelah walaupun sudah lewat malam. 

Keesokan hari, kami sekeluarga memulakan percutian kami untuk melawat Muzium Tentera Darat, Port Dickson. Setibanya di sana, saya teruja melihat jet-jet pejuang dan kereta kebal yang tidak pernah dilihat di hadapan mata. Keterujaaan saya turut dirasai oleh ahli keluarga. Antara tarikan yang istimewa pada saya di muzium tersebut ialah terowong yang menceritakan bagaimana Parti Komunis Malaya (PKM) pada suatu ketika dahulu tinggal di dalamnya. Bagi yang meminati sejarah peperangan, di sinilah tempat yang telah dipadatkan dengan bahan-bahan informasi ketenteraan.

Muzium Tentera Darat, PD

Muzium Tentera Darat, PD

Pada hari terakhir kami di sini, kami sempat menjengah di Alive 3D Art Gallery, Lukut. Tempat ini juga merupakan tumpuan utama pelancong yang datang melancong di Port Dickson. Tempat ini merupakan sebuah rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi lebih menarik berkonsepkan seni 3D. Kunjungan kami di situ sangat lancar dan tiada sebarang kesesakan yang berlaku. Nasib kami baik pada waktu itu kerana menurut sumber yang pernah berkunjung di situ mengatakan bahawa tempat itu sentiasa dipenuhi pengunjung. Alhamdulillah, kami meneroka galeri 3D dengan keterujaan yang maksima kerana sepanjang hidup saya, saya tidak pernah melihat lukisan 3D yang menarik dilukis di dinding. Itu merupakan pengalaman indah yang tidak mungkin terpadam dalam memori saya. 

Alive 3D Art Gallery



Inilah travelog perjalanan saya bersama-sama keluarga tercinta. Saya membawa harapan dan impian yang besar untuk membawa kedua-dua ibu bapa saya menunaikan haji dan umrah. InshaAllah. Itu merupakan cita-cita saya sejak di bangku persekolahan. 

"Emak, ayah, doakan agar cita-cita saya tercapai."

Sekian,
Cahaya Taqwa

BBK3410: BALING! BALING!

Assalamualaikum W.B.T.

"Baling! Baling! Baling!" 
Teriakan ini masih segar dalam ingatan saya ketika saya dan rakan-rakan bermain permainan "Baling Selipar" pada suatu ketika dahulu. Zaman cilik yang sering diceriakan dengan tawa riang kami bermain permainan tradisional bersama-sama. Pada zaman itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan zaman globalisasi pada masa kini. 
Image result for baling selipar
Baling Selipar

Permainan baling selipar merupakan satu daripada permainan tradisional rakyat yang terkenal sejak zaman dahulu lagi. Permainan ini juga turut dikenali sebagai tuju kasut, tuju selipar dan tikam selipar. Pada zaman dahulu, permainan baling selipar sering dimainkan oleh anak-anak cilik di kampung-kampung. Kebiasaannya pada waktu senggang, kebanyakan kanak-kanak di sesebuah kejiranan akan berkumpul bagi memainkan permainan baling selipar ini. Pada zaman moden ini, permainan ini sering digantikan dengan permainan baling tin atau tuju tin.

Terimbau kembali sewaktu saya bermain permainan ini bersama rakan-rakan. Kami berkejaran dan mensasarkan serangan kepada pasukan pertahanan agar mereka tidak dapat membina semula selipar yang telah dirobohkan itu. Sungguh indah kenangan itu. Peluh yang membasahi baju kami menandakan betapa bersungguh-sungguhnya kami bermain sehingga ibu datang untuk menjemput kami pulang kerana terlalu asyik bermain. Permainan baling selipar bagi saya bukan sahaja menghiburkan, malah membantu dalam pengamalan gaya hidup sihat memandangkan permainan ini juga memerlukan tenaga yang banyak ketika permainan dimulakan. Selain itu, permainan baling selipar juga menggalakkan interaksi dan komunikasi antara satu sama lain, sekaligus mengeratkan hubungan sesama pemain.

Meskipun arus teknologi semakin bergerak deras sederas air sungai selepas hujan, semestinya permainan baling selipar tidak akan luput ditelan dek zaman dengan adanya pencinta-pencinta permainan tradisional. Sebagai contoh, pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar negara sering mengadakan pertandingan permainan tradisional sebagai salah satu aktiviti mereka, dan permainan baling selipar adalah salah satunya.

Image result for baling selipar
Keriangan kanak-kanak bermain

Sekian,
Cahaya Taqwa



BBK3410: REWANG


Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Ilahi kerana masih mengurniakan nikmat untuk hidup dan meneruskan kehidupan. 

Rewang? Rata-rata masyarakat kita faham apa maksudnya dengan kata rewang. Tapi ada juga segelintir masyarakat yang berasal dari negeri sebelah timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang yang tidak memahami budaya rewang ini. Jadi apakah itu Rewang?

Sebenarnya, perkataan Rewang ini berasalnya dari bahasa jawa yang membawa maksud beramai-ramai membanting tulang bergotong-royong dalam menyediakan persiapan sesuatu majlis. Selalunya majlis yang memerlukan kerja Rewang adalah majlis perkahwinan, sambut menantu, cukur jambul dan sebagainya. 


Image result for budaya rewang

Aktiviti rewang ini sering dilakukan beberapa hari sebelum sesuatu majlis perkahwinan berlangsung. Dalam majlis perkahwinan pada masa kini, mereka sering menggunakan perkhidmatan katering untuk menguruskan sesuatu majlis. Namun begitu, masih terdapat masyarakat yang masih mementingkan budaya masyarakat jawa ini. 

Saya merupakan anak jati negeri Johor. Jadi, aktiviti rewang ini begitu sinonim dalam diri saya. Saya sering mengikuti kedua-dua ibu bapa saya menyertai aktiviti rewang di rumah tetangga yang ingin melangsungkan sesuatu majlis. Kebiasaannya, bagi kaum wanita yang melibatkan diri dalam aktiviti ini, kami lebih menumpukan terhadap aktiviti menguruskan bahan masakan seperti mengupas bawang, memotong segala sayur-sayuran dan sebagainya. Bagi kaum lelaki pula, mereka akan menguruskan aktiviti yang berat seperti memasang khemah, menyusun meja dan sebagainya. Sudah menjadi budaya kami untuk menghulurkan tangan dalam membantu menguruskan sesuatu majlis. 


Image result for budaya rewang

Kelebihan aktiviti rewang ini dapat memberi 1001 maanfaat kepada masyarakat, terutamanya masyarakat di kampung yang masih ligat menjalankan aktiviti rewang. Di samping bekerjasama membuat tugas yang diberikan, ia juga mengeratkan lagi tali persaudaraan antara satu sama lain. Ada pendapat mengatakan bahawa budaya Rewang dapat dijadikan satu medan dakwah peringkat keluarga, sanak-saudara dan jiran terdekat. Tambahan pula, menurut pendapat yang mengutarakan bahawa keutamaan rewang adalah untuk memulakan misi amal, ziarah dan ukhwah di samping menerapkan nilai adat dan budaya setempat di dalam masyarakat kita.

Secara jujurnya, saya berpendapat bahawa amalan budaya Rewang ini sangat bagus kerana kita dapat bersuai kenal dengan jiran tetangga yang sekian lama tidak bertemu. Seterusnya, saya juga dapat mengasah sikap tolong-menolong, berganding bahu dan bersatu padu antara satu sama lain. Namun begitu, perkhidmatan katering yang ditawarkan merupakan suatu perkara yang merentap jiwa saya kerana perkhidmatan ini bakal menenggelamkan budaya masyarakat jawa ini. 

Sekian,
Cahaya Taqwa


Thursday, 20 October 2016

BBK3410: LONTONG JOHOR

Assalamualaikum W.B.T

Pada hari ini saya ingin berkongsikan tentang juadah tradisional negeri Johor iaitu lontong. Lontong merupakan menu yang sangat lazat untuk dijamukan kepada tetamu dan ahli keluarga. Lontong ini juga merupakan makanan kegemaran saya. Ya, memikirkan tentang makanan ini membuatkan hati meronta-ronta inginkan lontong. Seminggu lagi akan berlangsungnya cuti pertengahan semesta, sudah semestinya saya akan memujuk ibu saya untuk melayan anak tekak saya yang teringinkan juadah lontong ini. Lontong sering dijamu ketika waktu bersarapan. 

Oleh kerana keterujaan saya untuk pulang ke kampung semakin berkobar-kobar hari demi hari, saya ingin berkongsikan resepi Lontong Johor ini. 

LIMA BAHAGIAN UTAMA 
  1. Nasi impit
  2. Kuah lodeh
  3. Sambal kacang/ sambal tumis
  4. Serunding
  5. Telur rebus dipotong dua
NASI IMPIT

CARA PENYEDIAAN:
  1. 1 kotak beras nasi impit (ready made)
  2. Masukkan paket nasi impit tersebut ke dalam air dan masak
  3. Apabila plastik tersebut telah kembung, keluarkan nasi impit tersebut dan dibiarkan sejuk sebelum dipotong menggunakan pisau.
SAYUR LODEH (masak lemak)

BAHAN-BAHAN UTAMA:
  1. 8 tangkai kacang panjang, dihiris serong
  2. 2 keping tauhu, dipotong kiub
  3. 50 gram fucuk atau tauhu kering, dipotong kecil dan direndam sehingga lembut
  4. 1 batang lobak merah saiz sederhana, dipotong seperti anak mancis
  5. 1 biji sengkuang saiz kecil, dipotong seperti anak mancis
  6. 3 keping tempe, dipotong kiub
  7. 1/4 bahagian kobis bulat, dihiris kecil
  8. 1 biji kentang saiz besar, dikupas dan dipotong seperti anak mancis
  9. 1200 ml santan cair
  10. 400 ml pati santan
  11. Air jika perlu
  12. 1 cekak soo hoon, dikerat pendek
  13. 2 batang serai, dititik
  14. 1/2 inci lengkuas, diketuk
  15. 1 kiub pati ikan bilis
  16. 3/4 camca teh serbuk kunyit
  17. Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:
  1. 1 biji bawang besar
  2. 3 ulas bawang putih
  3. 2 camca besar udang kering direndamkan selama 10 minit dan ditoskan
CARA PENYEDIAAN:
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai yang dititik dan lengkuas sehingga harum. Masukkan bahan kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan lobak merah, sengkuang dan kentang. Kacau rata dan tuang santan cair. Biar mendidih. Masukkan kiub ikan bilis, tempe dan fucuk (toskan). Masak hingga semua lembut. Masukkan kacang panjang, tauhu dan kobis. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air. Biar mendidih.
  3. Tuang pati santan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan soo hoon, kacau dan masak dengan api sederhana hingga soo hoon lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama ketupat/nasi impit, serunding, sambal tumis dan telur rebus.
SERUNDING KELAPA (PILIHAN)

BAHAN-BAHAN YANG DITUMBUK:
  1. Serai, sedikit cili kering, 2 ulas bawang putih, 1 biji bawang besar, lengkuas, halia dan belacan
  2. 1/2 biji kelapa parut
  3. Garam dan gula sebagai perisa
  4. 1 camca teh perahan air asam jawa
  5. Sedikit minyak
CARA PENYEDIAAN:
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk
  2. Masukkan air asam, garam dan gula sebagai perasa
  3. Masukkan kelapa parut dan digoreng sehingga kering iaitu sehingga kelapa berderai.
SAMBAL TUMIS 

BAHAN-BAHAN UNTUK DIKISAR:
  1. 6 biji bawang merah
  2. 3 ulas bawang putih
  3. 1/2 inci halia
  4. 1 inci belacan
CARA PENYEDIAAN:
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing, gunakan api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
  2. Tambah gula dan garam secukup rasa, masukkan hirisan bawang besar. Toskan ikan bilis, perah dan masukkan ke dalam sambal, tambah sedikit air. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga sambal pekat. Jangan lupa untuk merasa kesedapannya. 
Alhamdulillah. Di atas merupakan perkongsian resepi lontong yang enak. Walaupun resepi ini rumit dan memerlukan masa yang banyak, tetapi percayalah bahawa resepi ini adalah resepi yang terbaik dan lazat. 
Lontong untuk dijamu.

 
Sekian,
Cahaya Taqwa



Wednesday, 19 October 2016

BBK3410: KELAS PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF

Assalamualaikum W.B.T.

Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam kelas Penglahiran Bakat Kreatif (BBK3401). Perasaan gemuruh jelas terpancar pada riak wajah saya. Mendengar khabar angin berkenaan seorang pensyarah membuatkan hati saya berdebar-debar. Namun begitu, tidak semua khabar angin yang meniup ke dalam telinga kita adalah perkara yang benar. Selepas mengikuti pembelajaran Penglahiran Bakat Kreatif (BBK3401) bersama Prof Madya Dr Kamariah Kamarudin, saya berasa teruja untuk memperkembangkan lagi bakat kreatif yang tersorok dalam diri saya. Bakat saya diasah oleh Dr. Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun saya merupakan pelajar sastera sewaktu di tingkatan 6, namun bakat kreatif yang sudah lama tidak diasah itu telahpun tumpul. Walau bagaimanapun, bakat itu diasah kembali ketika saya mengikuti kelas BBK3401. 

Saya mempelajari pelbagai perkara seperti cara membuat cerpen, novel dan puisi-puisi lain yang indah. Kosa kata yang menarik juga dapat saya himpunkan. Membina sesuatu yang kreatif ini bagi saya memerlukan kesabaran dan ketenangan yang mendalam. Sangat sukar untuk menggali kosa kata yang bombastik yang dapat menarik minat audiens. Oleh sebab itu, Dr menekankan kepada kami bahawa memperbanyakkan membaca hasil karya penulis-penulis sastera. 

Di samping itu, kami juga ditugaskan untuk menemuramah penulis-penulis yang memenangi sama ada pertandingan Kumpulan Utusan, Seawrite Award ataupun pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kumpulan saya mempunyai seramai 6 orang ahli iaitu tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan termasuk saya. Kami memilih untuk menemuramah seorang pensyarah yang mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Prof Madya Dr Mawar Safei. Beliau merupakan seorang penulis yang telah memenangi pertandingan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Ketika diwawancara, beliau sangat merendah diri dan banyak berkongsi tips-tips dalam melahirkan idea untuk menghasilkan sesebuah karya. Apa yang penting adalah, baca, membaca dan terus membaca. Selain itu, sebelum memulakan sesuatu karya, kita mestilah sudah mencari dan mempunyai banyak ilmu tentang perkara yang ingin disampaikan. Perkara ini penting agar kita tidak cepat bosan dan berputus asa dalam menghasilkan karya. Hasil wawancara kami, kami mendapat ilham untuk menghasilkan sesuatu karya seperti menghasilkan cerpen dan lima buah sajak yang juga merupakan tugasan kami yang kedua. Kami juga telah dihadiahi Dr Mawar tiga buah buku hasil penulisannya iaitu cerpen Masitah, cerpen Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah dan juga cerpen Narasi Gua dan Raqim. Saya sendiri telah menyertai sayembara menulis cerpen yang dianjurkan Universiti Malaya. 

Sewaktu sesi wawancara dilakukan
Bergambar bersama Dr Mawar dan  ahli kumpulan 

Buah tangan pemberian Dr Mawar
Jadi, harapan saya terhadap subjek Penglahiran Bakat Kreatif ini adalah supaya saya dapat mengasah lebih tajam bakat yang terpendam dalam diri saya. Siapa tahu mungkin suatu hari nanti saya akan menjadi seperti ahli-ahli karyawan sastera seperti Dr Kamariah dan Dr mawar? Sungguh hebat hasil penulisan mereka, bahkan setiap butir bicara mereka turut menggunakan bait-bait yang puitis. Pelbagai anugerah telah mereka terima. Oleh itu, saya bertekad untuk meluaskan lagi bakat saya dalam penulisan kesusasteraan Melayu ini sebagai landasan saya untuk terus berjaya.

Sekian, 
Cahaya Taqwa

BBK3410: SALASILAH DIRI

Assalamualaikum W.B.T
Pada entri saya yang pertama, saya lupa untuk memperkenalkan diri saya. Nama diberi Nurhanisah binti Abdul Jalil, dilahirkan di Hospital Daerah Kluang, Johor. Saya merupakan warga jati Johor yang tidak pernah bermusafir di negeri lain. Saya merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik. Kakak sulung saya merupakan seorang yang sudah bekerjaya, manakala adik lelaki saya masih bersekolah di tingkatan 3. Kedua-dua ibu bapa saya merupakan pekerja di bawah sebuah syarikat swasta iaitu FELDA AGRICULTURAL SERVICES SDN BHD (FASSB). Mereka merupakan ibu bapa yang sangat memahami dan penyayang. Oh, memikirkan mereka membuatkan saya rindu kepada mereka. 

Selepas tamat pembelajaran saya di tingkatan 6, SMK Bandar Tenggara, saya meneruskan langkah kehidupan saya dengan bekerja di sebuah kilang elektronik, Venture Senai. Pengalaman menjadi seorang pelajar dan seorang pekerja merupakan suatu perkara yang amat berbeza. Pelajar merupakan seorang insan yang sangat dikasihi dan disayangi guru-guru. Segala perilaku saya sebagai seorang pelajar sering diambil perhatian oleh guru-guru berbeza pula dengan seorang pekerja. Saya merupakan operator di kilang tersebut. Operator? Sememangnya kerja itu sangat sukar. Saya sering dikerah untuk mendapatkan output. Pada permulaan dunia saya sebagai seorang operator, saya seperti mahu cabut pada hari seterusnya. Sudah beberapa kali air mata saya tumpah membasahi pipi. Dimarahi oleh pekerja asing? Sukar untuk menelan realiti itu. Namun begitu, dalam kesusahan saya, saya dikurniakan rakan-rakan yang sangat memahami. Rakan-rakan yang sering memberi semangat dan membuatkan saya meneruskan untuk bekerja di situ. 


Keputusan UPU dikeluarkan. Pada waktu itu, saya sudah berhenti bekerja. Hasil titik peluh saya disimpan untuk melanjutkan pelajaran. Saya mendapat tawaran di Universiti Putra Malaysia dalam program Bacelor Komunikasi. Reaksi kedua-dua ibu bapa saya membuatkan hati saya tersentuh. Saya sangat gembira kerana mendapat tawaran universiti perdana. Sememangnya cita-cita saya untuk melanjutkan pelajaran di UPM. Walaupun pada asalnya saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Rezeki kita sudah tertulis. Saya juga minat dengan program yang ditawarkan, komunikasi. Program yang mengasah keyakinan diri saya untuk berinteraksi. Di sinilah bermulanya kisah saya yang seterusnya.

Sekian.
Cahaya Taqwa

Assalamualaikum W.B.T. Nama saya Nurhanisah binti Abdul Jalil & berasal dari Johor